Wednesday, June 25, 2008

Terima Kasih

Saya telah membuat beberapa posting yang terdahulu (lihat posting-posting di bawah) bagi merakamkan rasa terima kasih kepada warga Danau dan mereka-mereka yang terlibat di dalam menjayakan perlaksanaan Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT Negeri Melaka bermula daripada 1 Mac hingga 21 Jun 2008.

Saya mohon maaf kerana tidak berkesempatan melakukannya lebih awal setelah posting saya yang pertama dibuat pada 2hb Jun 2008 yang lepas.

Adillah A Nordin


Memang sukar untuk saya menulis penghargaan ini kepada Adillah kerana terlalu banyak sumbangan dan pengorbanan yang telah beliau berikan kepada Danau untuk memastikan perlaksanaan Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT ini berjalan dengan baik dan sempurna. Daripada hal-hal yang berkaitan dengan kewangan, pembelian cenderahati, pemilihan hadiah untuk peserta hinggalah ke pengurusan pendaftaran peserta dan pengendalian latihan semuanya tidak terlepas daripada penglibatan dan pandangan beliau.

Sering kali Adillah terpaksa menyusun kerja-kerja guaman beliau untuk terlibat sama dalam perlaksanaan program ini di mukim-mukim. Ada kala kerja-kerja guaman beliau dibuat ketika program latihan sedang berjalan. Saya rasakan hari-hari yang mana beliau tidak dapat hadir seperti ada saja yang tidak kena.

Apa yang tertulis di dalam posting adalah terlalu ringkas untuk menyatakan penghargaan saya kepada beliau kerana saya rasa tanpa beliau tidak mungkin Danau akan terlibat di dalam Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT ini.

Ila, thanks.

Hafizah

Hafizah sentiasa membantu saya pada hari-hari beliau tidak mempunyai kuliah di MMU, Cyberjaya. Hafizah pendiam orangnya tetapi tidak teragak-agak untuk membantu peserta bila-bila masa sahaja. Terima kasih Hafizah kerana sentiasa melaksanakan tugas dengan tekun.

Lim Shi Rho, Latifah & Nur Azliyana


Shi Rho, Latifah dan Nur Azliyana (Nana) adalah pelajar dari USM dan UKM yang menjalankan latihan industri di Danau daripada awal Mei hingga akhir Jun. Mereka bukan sahaja telah menjadi fasilitator di Taboh Naning, Rembia dan Telok Mas tetapi telah banyak membantu saya (Thony) menyemak soalan-soalan kuiz, mengendalikan perisian Kuiz ICT di peringkat akhir, menguji 'Internet Treasure Hunt' dan menyediakan peralatan untuknya.

Terima kasih saya kepada Shi Rho, Latifah dan Nana kerana telah menyesuaikan diri dengan begitu cepat dan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Aida

Aida memang tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama kami di sepanjang perlaksanaan Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT ini. Walaupun Aida hanya menjadi fasilitator tetapi kehadirannya sentiasa memeriahkan suasana di kalangan fasilitator-fasilitator yang lain.

Di akhir perlaksanaan program ini Aida telah membantu kami menguji 'Internet Treasure Hunt' untuk memastikan perjalannya lancar. Aida, terima kasih kerana sentiasa mahu bersama kami di samping menceriakan suasana program.

Tuesday, June 24, 2008

Azura Majid



Azura selalu menjadi fasilitator bagi program ini pada hari-hari yang mana beliau tidak mempunyai kuliah (atau peperiksaan) di UPM, Serdang. Semenjak dua bulan kebelakangan ini beliau telah bersama-sama Danau sepenuh masa bagi membantu kerja-kerja saya di Planetarium Negara dan kerja-kerja penyediaan Kuiz ICT Peringkat Akhir.

Azura dan rakan-rakan yang lain telah memeriksa soalan-soalan kuiz yang disediakan bagi memastikan ayat-ayat dan ejaan ditulis dengan betul, menguji perisian kuiz yang dibina oleh Thony berfungsi dengan baik, menyediakan bahan-bahan untuk 'Internet Treasure Hunt' dan sebagainya.

Terima kasih saya kepada Azura kerana sanggup mengorbankan cuti hujung tahun pengajian untuk bersama-sama menjayakan perlaksanaan Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT.

Nurul Nasyira


Nurul adalah pelajar lepasan SPM ketika beliau menyertai Danau untuk melaksanakan Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT. Saya yakin beliau boleh membantu saya memperincikan aktiviti 'Merancang Percutian Menggunakan Internet' untuk pelajar-pelajar sekolah yang mana ia melibatkan penggunaan blog. Nurul telah melaksanakannya dengan baik. Dari awal program hinggalah ke akhirnya tidak banyak yang perlu diubah lagi.

Nurul hanya bersama Danau hingga ke Tanjung Bidara (Siri ke-6) kerana melanjutkan pelajarannya di dalam jurusan undang-undang di UIA.

Nurul, terima kasih kerana sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh semangat.

Sardi Ghazali


Sardi, seperti Rizal, menyertai Danau pada awal bulan Disember 2007. Beliau telah banyak membantu Thony dalam menyediakan soalan-soalan Kuiz ICT, mereka dan mengendalikan aktiviti yang melibatkan penggunaan robot Lego Mindstorm (bersama Rizal) dan membina kandungan halaman web Menguasai Internet dan halaman web Buku Menguasai Internet.

Walaupun Sardi tidak dapat bersama-sama kami hingga ke akhir program ini kerana terpaksa membantu keluarga di kampung tetapi sumbangan dan komitment yang beliau berikan untuk menjayakan program ini adalah sangat besar dan tetap dikenang.

Banyak yang ingin saya katakan tentang Sardi telah saya katakan dalam posting tentang Rizal kerana Sardi dan Rizal sering melakukan tugas bersama. Sardi, terima kasih. Tidak sia-sia saya menerima Sardi untuk menjalani latihan industri di Danau Disember lepas.

Mohd Rizal Abdullah


Rizal
menyertai Danau pada awal bulan Disember 2007 bagi menjalani latihan industri seperti yang dikehendaki oleh universiti beliau, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Pada mulanya saya telah meminta beliau mempelajari dan mendalami bidang robotik dengan menggunakan Lego Mindstorm. Apabila Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT bermula maka Rizal (bersama Sardi) telah membantu saya merekabentuk dan mengendalikan aktiviti yang melibatkan penggunaan Lego Mindstorm untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pada awal program Rizal telah banyak membantu Thony membina soalan-soalan Kuiz ICT. Kemudian Rizal telah membantu saya membina kandungan bagi halaman web Menguasai Internet. Banyak juga masa yang telah dilabur untuk membinanya. Walaupun halaman ini masih dalam pembinaan tetapi penulisan-penulisan yang beliau buat adalah sangat baik.

Di akhir perlaksanaan program Rizal (bersama Azmin) telah membantu saya memperinci program 'Internet Treasure Hunt' untuk dilaksanakan di Majlis Penutup. Kerja-kerjanya memang banyak tetapi semuanya telah dapat dilaksanakan dengan sempurna dan baik oleh beliau.

Tugas-tugas yang Rizal (dan Sardi) telah laksanakan untuk saya memang banyak dan berbagai. Menarik kabel rangkaian, membuat kabel elektrik, menyediakan ratusan email untuk peserta-peserta program, mengarang artikel, membina robot, dan sebagainya semuanya telah dilakukan seolah-olah tidak ada apa yang Rizal (dan Sardi) tidak boleh buat. Rizal, terima kasih. Seperti rakan-rakan yang lain Rizal (dan Sardi) tidak pernah menghampakan saya.

Mohd Azmin Abu Bakar


Azmin mula menyertai Danau pada penghujung bulan Februari 2008 ketika persiapan untuk melaksanakan Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT sedang rancak. Saya perlukan orang yang boleh membangunkan halaman web bukan sahaja untuk program ini tetapi juga untuk program-program yang lain. Walaupun pada permulaannya Azmin bukanlah seorang yang boleh dikatakan sebagai 'expert' di dalam pembangunan halaman web tetapi beliau telah menunjukkan kemampuan untuk belajar dengan cepat. Kebolehan Azmin semakin menyerlah!

Untuk Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT, Azmin telah membina dan menyenggara halaman-halaman web berikut: Program ICT Melaka, Menguasai Internet dan Buku Menguasai Internet. Bukan itu saja, Azmin telah membina pendaftaran peserta secara online walaupun tidak digunakan sepenuhnya. Azmin (bersama Rizal hingga lewat malam) juga telah membantu saya memperincikan program 'Internet Treasure Hunt' yang telah dilaksanakan ketika Majlis Penutup Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT diadakan di Kompleks Falak Al Khawarizmi, Tanjung Bidara.

Halaman-halaman web yang Azmin telah bina di masa-masa saya mahu ia dilaksanakan sangat bermakna untuk saya. Hanya saya sahaja yang masih belum menggunakannya sepenuhnya. Azmin, terima kasih.

Thony Ekam


Thony adalah warga Danau yang paling lama mengenali saya. Anak kelahiran Sarawak ini mula menyertai Danau pada awal Disember 2006 bagi menjalani latihan industri. Walaupun latihan industri beliau tamat hujung April 2007, beliau masih kerap menemui saya untuk mendapatkan nasihat dan berbincang tentang projek tahun akhir beliau. Semasa menjalani latihan industri saya telah meminta beliau belajar mengguna Java untuk membina perisian walaupun ia mungkin sedikit sukar untuk dikuasai di peringkat permulaan. Kini saya tumpang gembira kerana Thony telah dapat menguasai Java dengan baik. Thony telah menyerti Danau pada awal Januari 2008.

Thony adalah 'taukeh' Kuiz ICT. Beliau bukan sahaja telah membina soalan-soalan kuiz yang begitu banyak (ratusan bilangannya) tetapi juga telah membina perisian Java untuk memaparkan soalan kuiz dan juga markah (papan markah). Apabila kami mengalami masalah dengan loceng (buzzer) elektronik maka Thony telah merekabentuk 'buzzer' yang menggunakan komputer dan perisian Java. Lengkap semuanya dibina oleh Thony dengan menggunakan Java. Thony juga telah membina papan markah untuk 'Internet Treasure Hunt' yang siap dengan bunyi dan ikon-ikon yang menarik.

Thony, terima kasih. Saya tahu Thony sentiasa mahu berikan yang terbaik. Selalu balik lewat dan apabila tiba di rumah masih buat kerja lagi.

Monday, June 23, 2008

Abd 'Azim Abd Hamid


Saya rasa tidak ada orang yang lebih mahu menyertai Danau selain daripada 'Azim. Di sekitar bulan Oktober 2007 lagi beliau telah menemui saya untuk menunjukkan kerja-kerja grafik yang beliau telah lakukan. Saya kata saya belum ada lagi keperluan untuk pereka grafik maka dengan itu 'Azim pun menghilangkan diri seketika. Setelah habis peperiksaan beliau datang lagi berjumpa dengan saya. Saya kata kepada beliau yang saya lebih perlukan adalah staf yang boleh membuat rekabentuk 3D. 'Azim kata dia boleh belajar membuat rekabentuk 3D dan meminta daripada saya satu contoh model 3D dan perisian yang perlu digunakan untuk beliau menunjukkan kebolehannya kepada saya. Saya pun berikan kepada beliau lukisan (pelan) sebuah teater kecil dan perisian Google Sketchup. Kira-kira dua minggu kemudian beliau datang untuk menunjukkan kerja-kerja yang telah dihasilkan. Saya agak kagum dengan kebolehan dan kesungguhan yang beliau tunjukkan! Akhirnya 'Azim mula menyertai Danau pada pertengahan bulan Disember 2007.

'Azim telah banyak menyumbang kerja-kerja rekabentuk grafik kepada program ini. Daripada logo program hinggalah ke rekabentuk dan susunatur buku aturcara, grafik untuk antaramuka perisian kuiz, grafik bagi halaman web Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT, halaman web Menguasai Internet dan halaman web Buku Menguasai Internet, dan juga grafik bagi 'Crew T-shirt' dan 'Internet Treasure Hunt'. 'Azim juga turut membantu dalam mengendalikan papan markah bagi Kuiz ICT.

Saya amat menghargai masa yang Azim korbankan, ada kalanya hingga jauh malam untuk memberikan yang terbaik. Azim, terima kasih. Program ini tidak mempunyai identiti tanpa Azim.

Monday, June 9, 2008

Siti Hajar Majid


Hajar menyertai Danau pada 2 Julai 2007 untuk membantu saya menyiapkan kerja-kerja merekabentuk dan memperinci Galeri Penjelajahan Angkasa di Planetarium Negara. Sehingga kini beliau masih gigih membuat kerja-kerja penyelidikan kandungan dan merekabentuk bahan pameran interaktif terutama di dalam bidang astronomi.

Pada awal perlaksanaan Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT ini Hajar telah banyak membantu di dalam menyedia dan menyemak soalan-soalan untuk Program Kuiz ICT. Begitulah juga di penghujung program di mana kami terpaksa menyediakan set-set soalan yang baru yang mana semuanya perlu diperiksa.

Saya dapati Hajar adalah seorang yang agak pendiam dan mungkin juga pemalu. Bagaimanapun apabila kami diminta untuk menambah aktiviti-aktiviti yang melibatkan penggunaan komputer untuk pelajar-pelajar sekolah pada siri kelima di Batang Melaka maka saya terpaksa meminta Hajar untuk merekabentuk dan mengendalikan aktiviti tersebut. Saya cadangkan beliau guna Stellarium, sebuah perisian simulasi planetarium kecil. Itulah yang Hajar gunakan dan sehingga kini pengendaliannya semakin baik dan menyerlah.

Hajar telah memberikan yang terbaik bagi program ini di saat-saat saya memerlukannya. Terima kasih Hajar.

Tuesday, June 3, 2008

Hasanah Ab Halim


Hasanah adalah orang yang pertama menjadi staf Danau Digital. Beliau menyertai saya pada 2 April 2007 ketika saya sendiri tidak berapa pasti tentang arah dan halatuju Danau Digital. Sukar untuk saya bayangkan senang atau susahnya Hasanah membuat keputusan untuk menyertai Danau. Mungkin juga beliau menyertai Danau kerana tiada pilihan lain. Hanya beliau yang tahu. Bagaimanapun, saya hargai kepercayaan yang berikan kepada saya ketika menyertai Danau tahun lepas untuk sama-sama membangunkan Danau ke tahap yang ada sekarang.

Semenjak awal-awal lagi saya dapati Hasanah adalah seorang yang boleh memikul tanggungjawab, sanggup memikul tanggungjawab dan tidak lari daripada tanggungjawab. Apabila Danau diberi kepercayaan oleh IMM untuk menjadi rakan pelaksana Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT Negeri Melaka maka Hasanah telah membantu saya membina nota-nota kursus termasuklah nota bagi membina blog. Hasanah telah lama menjadi seorang blogger. Oleh itu beliau telah dapat mengendalikan sesi Membina Halaman Blog untuk program ini dengan baik. Hasanah telah membina dan menyenggara Blog Fasilitator Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT Melaka.

Di penghujung program ini Hasanah telah membantu untuk membina dua buah 'montage' video bagi Majlis Penutup program. Di samping itu, beliau juga telah banyak membantu saya dalam menyelesaikan kerja-kerja pengurusan dan persiapan bagi menjayakan program ini.

Hasanah, terima kasih. Ketika 'adik-adik' di ofis baru belajar erti 'tanggungjawab' Hasanah telah memikulnya untuk saya.

Monday, June 2, 2008

Menjadi Blogger

Setelah sekian lama saya mendaftar blog ini maka hari ini tibalah masanya untuk saya mula membuat pengisiannya. Terpaksa mungkin kerana ada beberapa dedikasi penting yang perlu saya buat sebelum masanya yang bermakna untuk melakukannya berakhir.

Pada pertengahan bulan Februari 2008 yang lepas Danau Digital telah diberi kepercayaan oleh Institut Pengurusan Melaka (IMM) untuk menjadi rakan pelaksana bagi menjayakan sebuah program untuk melatih masyarakat desa mengguna komputer dan Internet. Program ini dipanggil Program Latihan Rangkaian Bersepadu ICT Negeri Melaka. Blog yang kami bina sebagai fasilitator di sini.

Melaksanakan program ini dengan jayanya memang sungguh mencabar kerana skop kerja yang harus disempurnakan agak luas dan memerlukan kepakaran yang sangat berlainan. Bagaimanapun, segala cabaran yang ditempuh di sepanjang perlaksanaan program ini telah ditangani dengan baik. Semuanya hasil dari usaha dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh insan-insan yang benar-benar memahami erti tanggungjawab dan sentiasa memberikan yang terbaik. Saya kagum dengan inisiatif dan komitment yang telah diberikan disepanjang kita melaksanakan program ini.

Permulaan blog ini dan beberapa posting yang seterusnya saya tujukan buat anda semua. Penulisannya akan saya buat dalam Bahasa Melayu semoga 'anak-anak murid' anda yang berada di kampung-kampung yang telah kita dapat menghayati sumbangan dan pengorbanan yang anda telah berikan.